Sunday 27 May 2012

SEDIA BERDEBAT

Najib Sedia Berdebat Dengan Orang Berfikiran Munasabah

 

 


KUALA LUMPUR, 5 Mac  - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau sedia berdebat mengenai politik dengan sesiapa saja yang mempunyai pemikiran yang munasabah dan yang serius mengenai masa depan negara.
Perdana Menteri berkata bahawa sebagai seorang ahli politik dalam sebuah negara demokrasi, beliau tidak dapat elak daripada orang bercerita perkara buruk mengenai diri beliau.
“Jika saya tidak boleh menerima hakikat ini, maknanya saya telah buat pilihan kerjaya yang salah.
“Saya terima dengan adanya. Saya sedia berdebat mengenai politik dengan sesiapa, sama ada lelaki atau perempuan, yang mempunyai pemikiran yang munasabah dan saya hargai suasana politik di Malaysia yang meriah,” katanya dalam entri terbaru bertajuk “Kebenaran Mengenai Malaysia” dalam blog beliau di www.1malaysia.com.my.
Bagaimanapun, Najib berkata ada satu garis di mana perdebatan demokratik berakhir dan digantikan pula dengan penyalahgunaan, penipuan dan penyalahgambaran.
“Mereka yang serius mengenai masa depan negara kita harus cuba untuk tidak menyeberangi garisan ini,” katanya.
Katanya ada sesetengah pihak di negara ini yang tidak dapat menahan daya tarikan teori konspirasi yang hanya wujud dalam filem-filem Jason Bourne, bukan dalam perdebatan politik yang rasional, kerana teori sebegitu membebaskan diri mereka daripada menanggung tanggungjawab atas kegagalan mereka sendiri.
“Sukar untuk memenangi sesuatu hujah atau gagal mendapatkan sesuatu cara anda? Cara penyelesaian yang lebih mudah adalah untuk mengadu bahawa sistem yang ada ini telah dikongkong daripada bekerja keras untuk mencari hujah yang lebih baik atau mengakui kesilapan diri dengan rendah diri,” katanya.
Najib berkata beliau sangat bimbang apabila melihat terlalu ramai yang mengatakan mereka mahu memimpin Malaysia namun mereka tidak mampu mengawal diri apabila berdepan dengan sesuatu perdebatan.
“Bagi mereka, tiada batasan dalam menggunakan apa sahaja cerita, tuduhan atau teori yang keterlaluan, tidak kisahlah sama ada ianya berasas atau tidak, dan berlandaskan fakta atau tidak.
“Mereka tetap menggunakannya walaupun ianya akan merosakkan reputasi Negara di mata antarabangsa dan mengganggu kestabilan dalam negara,” katanya.
Beliau turut menekankan betapa pentingnya kestabilan itu untuk semua, tidak kira apa latar belakang serta warisan mereka, ia antara ciri keunikan negara ini di mata antarabangsa.
“Namun begitu, walaupun kepelbagaian ini menjadi sumber kekuatan kita, ianya juga mudah bertukar menjadi kelemahan kita sekiranya pemimpin-pemimpin politik kita memilih provokasi daripada tanggungjawab, dan kita pula secara keseluruhannya tidak dapat mengawal diri dan memahami keseimbangan-keseimbangan sensitif di negara kita,” katanya.
Najib berkata konsep 1Malaysia yang beliau perkenalkan adalah mengenai “pemanfaatan kekuatan dalam kepelbagaian kita agar kita, sebagai sebuah negara, dapat menjadi lebih kukuh.”
Beliau berkata 1Malaysia terbina daripada realiti Malaysia hari ini – adanya perbezaan pada warisan dan tradisi, pandangan dan pengalaman agama dan pendidikan – ianya tidak cuba untuk menidakkan kewujudan perbezaan itu.
Namun 1Malaysia juga menyatakan bahawa perbezaan itu bukanlah halangan bagi rakyat untuk mencapai matlamat bersama, iaitu meningkatkan kemakmuran negara, katanya.
“Ia juga menyatakan bahawa sedang negara kita berkembang maju, sumber dan peluang yang semakin meningkat perlu diagihkan bagi menangani masalah yang dihadapi pada hari ini dan bukan masalah yang dihadapi oleh generasi bapa saya dahulu,” katanya.
Walaupun begitu, Najib berkata, tentunya telah timbul beberapa isu yang telah diperhebohkan oleh pihak-pihak yang menentang 1Malaysia dan beliau akan membincangkan isu-isu berkenaan dengan lebih mendalam di dalam entri blog yang seterusnya.

KEPENTINGAN NEGARA

Kerajaan BN Tidak Akan Raih Undi Dengan Cara Korbankan Kepentingan Negara

KANGAR, 27  Jan – Kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) tidak akan mengambil sikap mencari keuntungan jangka pendek seperti meraih undi untuk pilihan raya tetapi mengorbankan kepentingan negara bagi jangka masa panjang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata perancangan yang berdasarkan kepada pertimbangan semasa termasuk membuat pelbagai janji adalah semata-mata mahu meraih undi daripada rakyat tetapi ia boleh membawa kepada kehancuran ekonomi sesebuah negara.
Katanya dalam mahu meraih sokongan rakyat, kerajaan tidak akan mengambil sikap tidak bertanggungjawab dengan berjanji melakukan segala-galanya seperti yang dilakukan pembangkang.
“(Kalau dah berjanji) apabila hendak melaksanakannya mungkin kita akan senasib, sebaris dengan beberapa negara lain (negara-negara Eropah yang berhadapan dengan masalah ekonomi ketika ini).
“Kita bukan hanya nak raih sokongan dalam pilihan raya tetapi merosakkan kepentingan negara pada keseluruhannya. Kita tadbir negara dengan cekap, membina kekuatan dan kemudian beri keuntungan kepada rakyat,” katanya pada Majlis Mesra Rakyat 1Malaysia di Dewan Simpang Empat di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu adalah isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan dua bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Tan Sr Dr Abdul Hamid Pawanteh.
Najib berkata bagi tempoh 2010 hingga 2011, hasil negara bertambah sebanyak RM26 bilion.
“Cukai kita tidak naikkan, kita kurangkan lagi adalah. Bantuan kita tak potong, kita tambah lagi. Subsidi kita kekalkan. Prestasi ekonomi makin baik kerana kecekapan kita tadbir negara,” katanya.
Perdana Menteri berkata pembangkang boleh berjanji sahaja malah janji mereka tiada had bumbungnya.
Mengulas lanjut pada sidang media selepas itu, Najib berkata sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, pihaknya tidak boleh mengorbankan kepentingan jangka masa panjang dan generasi akan datang semata-mata untuk meraih sokongan undi daripada rakyat.
“Saya bagi contoh negara-negara Eropah yang terjerumus dalam keadaan ekonomi yang memalukan dari segi maruah mereka, perkara ini boleh berlaku dalam sekelip mata.
“Kita kena lihat kepentingan dalam jangka masa panjang tapi dalam masa sama lihat apa boleh buat dalam jangka pendek,” katanya.
Beliau berkata janji-janji pembangkang seperti ingin menghapuskan tol dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta menurunkan harga minyak adalah perkara yang tidak realistik.
“Tidak realistik kalau hendak hapuskan tol dan PTPTN. Hutang PTPTN banyak… ada RM40 bilion sekarang. Pada masa akan datang semua pelajar IPT kalau dapat PTPTN akan minta supaya hapus kira.
“Ini resepi untuk economic disaster. Tak payah pakar ekonomi, orang biasa pun boleh fikir ia akan bawa kehancuran ekonomi,” kata Najib.

Berita Bertarikh 27 January 2012 Pada 3:15 PM

TIADA BUKTI ANWAR BERSALAH


Tiada Masalah Buat BN.. Ini Kes Anwar Dan Saiful, Anwar Bebas Atas Isu Teknikal


PASIR GUDANG, 9 Jan – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata UMNO khususnya Barisan Nasional (BN) sedikit pun tidak gelisah dengan keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang membebas dan melepaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
“UMNO dan  BN tidak terlibat mengheret Anwar ke Mahkamah.. Saiful yang telah bersumpah laknat dalam Masjid Wilayah tahun 2008 yang membawa kes itu.
“Oleh yang demikian UMNO dan  BN tidak perlu gelisah dengan keputusan yang kita tidak terlibat dan kita tidak mencampuri.. Anwar dibebaskan pula hanya atas isu teknikal. Terpulang kepada pendakwaan samada hendak merayu atau tidak”, katanya apabila ditanya media selepas Program Jiwa Murni Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Pelabuhan Tanjong Langsat di sini, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri seterusnya berkata keputusan ini juga membuktikan yang tuduhan pembangkang bahawa mahkamah negara ini tidak bebas sangat meleset.
“Ia melambangkan satu kemuncak kepada kebebasan seorang hakim dalam memutuskan sesuatu kes perundangan.
“Kadang-kadang orang kita dan orang mereka dihukum dan kadang-kadang orang kita dan orang mereka dibebaskan”, ujarnya.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dibebaskan dari tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008.
Ketika membebas dan melepaskan Anwar, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata beliau mendapati tiada bukti kukuh yang menyokong keterangan Mohd Saiful.
Beliau berkata mahkamah keberatan untuk mensabitkan tertuduh (Anwar) semata-mata berasaskan keterangan Mohd Saiful.
Anwar, 64, dituduh meliwat Mohd Saiful, 26, di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Ini merupakan kes liwat kedua melibatkan beliau selepas didapati bersalah dan dihukum penjara sembilan tahun pada Ogos 2000 kerana meliwat pemandu, Azizan Abu Bakar.
Bagaimanapun, empat tahun selepas itu, Anwar dibebaskan selepas Mahkamah Persekutuan menukar pensabitan itu kepada tidak bersalah dan mengetepikan hukuman penjara terhadapnya. -MediaUMNO

BILA RASA NAK DITOLAK BARU NAK DIPERBETULKAN

BN Akan Perbetulkan Kesilapan Sehingga Ditolak Rakyat Pada Pru Lepas – Najib

 

BALING, 3 Mac – Barisan Nasional (BN) akan memperbetulkan kesilapan lalu sehingga kalah banyak kerusi dan beberapa negeri termasuk Kedah dalam pilihan raya umum 2008, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Untuk itu, Perdana Menteri berkata beliau memohon maaf bagi pihak BN atas kesilapan itu tetapi berjanji akan membetulkannya dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Katanya jika pengundi menolak BN seperti di Kedah, sedikit sebanyak adalah kerana BN telah membuat kesilapan.
“Pada saya kita jangan angkuh dan bongkak. Sebab kita mesti tunduk kepada kuasa rakyat dalam demokrasi berparlimen. Kalau rakyat tolak BN dulu mesti ada kesilapan kita.
“Kita minta maaf atas kesilapan kita dulu. Yang menang minta maaf yang kalah pun minta maaf,” katanya pada Perjumpaan Bersama Rakyat di Padang Awam, Kuala Ketil, dekat sini hari ini.
Perdana Menteri berkata BN akan belajar dan bangkit semula daripada kesilapan itu.
“Daripada runtuhan BN di Kedah kita akan bangkit dan bina mahligai yang kukuh dan kuat. Itu azam kita. kita berazam bahawa kita sudah mempelajari daripada kesilapan kita. Kita beri perakuan, akujanji kepada rakyat bahawa akan datang kita akan laksanakan perkhidmatan yang cukup baik kepada rakyat.
“Yang dulu jadi sempadan jangan dibangkit-bangkit lagi…kita janjikan perubahan untuk rakyat Malaysia dan Kedah. Perjalanan sudah bermula,” katanya.
Beliau berkata hanya BN sahaja yang dapat memberikan masa depan yang lebih baik kepada rakyat.
“Kita ada perancangan yang jelas, kita ada agenda yang tersusun rapi, kita ada peta jalan, kita ada fakta dan ada angka. Perangkaan yang cukup lengkap untuk memacu perubahan, membawa negara ke arah wawasan menobatkan negara sebagai negara maju berpendapatan tinggi. Ini bukan macam Buku Jingga,” katanya.
Najib berkata kerajaan mahu memberi isyarat dan gambaran jelas bahawa kerajaan sudah hampir untuk melakukan transfomasi perubahan yang memberi banyak manfaat kepada rakyat.
Antara yang hadir sama pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

 

MACAM LANDASAN PULA

Ahli Mesti Jadi “Orang UMNO” Yang Taat, Setia Dan Tidak Khianati Parti

 

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mahu anggota UMNO sekadar menjadi anggota tetapi ‘orang UMNO’ yang taat dan setia kepada parti serta tidak sekali-sekali mengkhianati parti.
Sebagai ‘orang UMNO, katanya mereka hendaklah mempamerkan perwatakan itu melalui tindak-tanduk serta sistem nilai yang dipegang iaitu taat setia, tidak khianat, cinta dan kasih dan berkhidmat tanpa jemu dan berkorban kepada perjuangan parti.
“Kita faham, adalah lumrah dalam sesebuah parti, mesti timbul perbezaan pendapat. Apa yang penting, kelainan pandangan itu, seharusnya membawa rahmat dan bukannya mengundang mudarat,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden di hadapan lebih 2,700 perwakilan dan pemerhati pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Dalam berijtihad, katanya orang UMNO harus mencipta kebaikan dalam parti.
Beliau berkata mengambil faham pengertian setia dan taat melalui syura dan musyawarah seperti difirmankan dalam Surah An-Nisa’ iaitu apabila keputusan telah dibuat, jika tidak menyalahi syariat, maka wajiblah ditaati.
Ketika mengupas pengertian menjadi orang Umno dalam konteks taat dan setia itu, Najib mengambil contoh ketaatan panglima perang Islam seperti Khalid al-Walid dan Usamah bin Zaid.
“Contohnya, kita mahu pengikut seperti Khalid al-Walid yang taat mengundur diri sebagai panglima perang apabila diarahkan oleh Khalifah dan hanya ikut serta sebagai soldadu biasa, sekalipun sedang berada di kemuncak karier. Menurut sejarahnya, (Khalid al-Walid) tidak pernah kalah perang.
“Seterusnya, Usamah bin Zaid, seorang anak muda belasan tahun yang setia menurut arahan mengepalai pasukan tentera Islam walaupun beliau bukanlah seorang panglima yang berpengalaman di medan perang.
“Inilah dia, watak, dan keperibadian pejuang sejati yang kita inginkan dalam susuk diri orang UMNO,” katanya.
Najib berkata orang UMNO  yang taat dan setia tidak akan menikam dari belakang.
“Bercakap soal taat setia, kita tak mahu, bila depan kita disuruh angguk dia angguk, disuruh geleng dia geleng tetapi di belakang lain pula halnya. Jangan tikam belakang dan jangan pula main belakang. Bak kata pepatah, janganlah telunjuk lurus kelingking berkait,” katanya.
Ketika menguraikan nilai cinta dan kasih, Najib berkata orang UMNO adalah orang yang cinta dan kasih kepada perjuangan parti seperti dalam madah lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee “itulah kasih mesra, sejati dan mulia”.
Katanya orang UMNO yang cinta dan kasih kepada parti tidak takut atau gentar menyuarakan pendapat serta mendengar pula pendapat orang lain demi kebaikan parti.
“Ajaran agama dan pujangga melorongkan pedoman, perkatakanlah yang benar kerana kebenaran itu isi dan makanannya sejarah, tidak akan patah dipukul zaman.
“Bersesuaian dengan nilai kesetiaan, bila kuat hawa kasihnya kepada parti, orang UMNO wajib membela dan mempertahankan parti, selagi hayat dikandung badan,” katanya.
Najib berkata orang UMNO  wajar kenal sejarah  parti, sama ada yang tersirat ataupun tersurat serta menjiwai prinsip serta falsafah perjuangannya.

 

TAK PERLU TUNGGU RAMADHAN PUN

Kehadiran Ramadhan, Peluang Terbaik Untuk Perpaduan Ummah – Najib

 

KUALA LUMPUR 31 Julai – Ramadhan adalah peluang terbaik untuk memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia melalui keunikan yang terdapat di negara ini kerana mempunyai pelbagai kaum dan agama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kedatangan Ramdhan bukan sahaja harus dirai dan disambut oleh umat Islam sahaja, malah perlu dirasai oleh semua rakyat tanpa mengira agama yang dianuti.
“Ramadhan ini adalah peluang terbaik untuk kita merukuni perpaduan ummah melalui kepelbagaian kaum dan agama demi 1bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu padu. Justeru peluang pembaikan diri dan hati ini wajar direbut oleh setiap individu,” katanya kepada UMNO-online.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan menyambut Ramadhan kepada seluruh rakyat Malaysia terutama di kalangan umat Islam dan ahli-ahli UMNO di mana mereka berada.
Najib berkata, ibadah puasa di bulan Ramadahan adalah wajib kepada umat Islam yang berkelayakan tanpa mengira jantina dan umur asalkan memenuhi syarat serta rukun ibadah berkenaan seperti yang ditetapkan oleh syarak.
“Ibadah puasa ini wajib djalani oleh setiap individu berkelayakan, selain membersihkan diri, puasa juga adalah terapi memelihara kesihatan diri,” katanya.
Beliau menyeru kepada semua rakayat di negara ini bersama-sama meraikan serta mengimarahkan Ramadhan bersama-sama rakan dari pelbagai bangsa melalui kerukuan muhibbah beriltizamkan perpaduan 1Malaysia 1 Ummah.MediaUMNO

 

BUKANKAH SENARIO SEPERTI ITU JUGA BERLAKU DALAM UMNO/BN JUGA DI SABAH

Beri Projek Secara Rundingan Terus, Bukti Akan Didedahkan Kepada Umum

 

 

TANJONG KARANG, 9 Mac – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendakwa beliau mempunyai cukup bukti untuk menunjukkan kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR telah memberikan projek secara rundingan terus dan bukannya menerusi tender.
Katanya beliau mempunyai senarai kontrak-kontrak berkenaan dan akan mendedahkannya kepada umum pada waktu yang sesuai.
Noh membuat dakwaan itu sebagai merujuk kepada dakwaan editor portal “Malaysia Today” Raja Petra Kamaruddin mengenai perkara itu baru-baru ini.
“Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata dokumen mengenai kontrak tanpa tender yang diluluskan kerajaan negeri Selangor akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri pada 19 Mac.
“Sehubungan itu, saya mahu lihat sama ada dokumen yang dikemukakan itu adalah sama seperti yang ada pada saya,” katanya selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sebuah sekolah dekat sini hari ini.
Raja Petra berkata sekiranya kerajaan negeri menafikan dakwaannya itu, beliau akan menyiarkan butiran kontrak berkenaan dalam blog beliau atau membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam perkembangan lain, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyelar Jawatankuasa Pemilih Kecekapan, Akauntabiliti dan Ketelusan Selangor (Selcat) kerana tidak dapat membentangkan hasil inkuiri awam ke atas tiga syarikat milik kerajaan negeri pada sidang Dewan Undangan Negeri akan datang.
Beliau berkata anggota Dewan Undangan Negeri telah tidak diberikan ruang yang cukup untuk membahaskan banyak isu yang dibangkitkan semasa pendengaran awam itu.
Selcat telah menjalankan inkuiri ke atas Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), anak syarikat kerajaan negeri Selangor dan pemegang konsesi perlombongan pasir; cabang pendidikan Yayasan Selangor dan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).