Sunday, 27 May 2012

JIKA BENAR JANJI DIKOTA

Janji Dikota, Keyakinan Rakyat Kepada BN Semakin Meningkat- Najib

 

 

Johor Bahru, 10 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sokongan dan keyakinan rakyat yang semakin meningkat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika ini adalah kerana kerajaan sentiasa mengotakan janjinya berbanding dengan pembangkang yang hanya pandai berjanji.
“Saya rasa sehari dua ini penambahan keyakinan rakyat terhadap BN adalah disebabkan apa yang kita (BN) kata, kita kotakan. Sebaliknya pembangkang bila mereka janji, tahap keyakinan janji mereka semakin hari semakin dipersoalkan.
“Justeru itu, kalau hendak terus mendapat keyakinan rakyat, sebagai pemimpin di semua peringkat kita mesti ‘walk the talk’… janji mesti dikotakan,” katanya semasa melakukan tinjauan mesra dan berucap pada majlis perjumpaan dengan penduduk Taman Setia Indah di sini, hari ini.
Najib berkata walaupun dalam tempoh yang singkat iaitu kira-kira tiga tahun ini, kerajaan mampu menterjemah segala projek yang dirancangkan kepada realiti yang memberi manfaat besar kepada rakyat.
“Insya-Allah, kalau tiga tahun kita sudah berjaya yakinkan rakyat, apatah lagi kalau lima tahun yang mendatang, macam-macam kita boleh buat untuk rakyat,” katanya.
Merujuk kepada negeri ini, Perdana Menteri berkata landskap pembangunan Johor kini semakin berubah kerana adanya perancangan dan keyakinan rakyat kepada kerajaan.
Katanya, rancangan pembangunan di kawasan Iskandar Malaysia sudah dilaksanakan sebanyak 45 peratus manakala satu projek terbaru membabitkan hab minyak dan gas di Pengerang dekat Kota Tinggi yang membabitkan pelaburan berjumlah RM60 bilion juga akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.
Terdahulu, sejurus tiba di kawasan perumahan itu, Perdana Menteri memulakan program tinjauan mesranya dengan berbasikal bersama belia pelbagai kaum di kawasan rekreasi perumahan tersebut.
Dengan berjalan kaki, Najib kemudian dibawa meninjau kawasan perniagaan, medan selera dan pasar awam Taman Setia Indah untuk beramah mesra dengan penduduk setempat sebelum berucap pada majlis perjumpaan.
Najib kemudian mengumumkan beberapa peruntukan termasuk bagi menyiapkan 316 unit projek perumahan rakyat Taman Setia Indah yang terbengkalai sejak tahun 2008, membina masjid Taman Puteri Wangsa dan projek membina bangunan tambahan empat tingkat untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Foon Yew, Taman Mount Austin, di sini.

Titah Khas Yang Di-Pertuan Agong Mengenai Perhimpunan Haram 9 Julai

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Istana Negara malam ini mengeluarkan Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini.
Berikut adalah teks penuh Titah Khas tersebut :
Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.
Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.
Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.
Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.
Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.
Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu “Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran”.
Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.
Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang.
Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora. Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara.

Kerajaan Siarkan Surat Dr Mahathir Kepada Tiga Perdana Menteri Israel

KUALA LUMPUR, 29 Feb – Kerajaan hari ini menyiarkan kepada umum tiga pucuk surat mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada tiga Perdana Menteri Israel yang jelas menunjukkan ketegasan Malaysia terhadap kekejaman Israel.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata ketiga-tiga surat itu ialah bagi menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan Malaysia tidak konsisten dalam pendirian dan dasarnya berhubung Palestin.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata surat berkenaan ialah;
i) Surat daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Yitzhak Rabin, Perdana Menteri Israel, bertarikh 21 Disember 1993;
ii) Surat daripada Dr. Mahathir Mohamad kepada Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel, bertarikh 14 Mac 1997; dan
iii) Surat daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Ehud Barak, Perdana Menteri Israel, bertarikh 8 Jun 1999.
Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak ketika melawat Melaka pada 24 Februari dan Sekinchan, Selangor pada 26 Februari telah menyatakan kesediaan Kerajaan Malaysia untuk menyiarkan kepada umum beberapa pucuk surat Mahathir  kepada Perdana Menteri Israel.

SURAT DR MAHATHIR KEPADA YITZHAK RABIN
PERDANA MENTERI MALAYSIA
21 Disember 1993
Tuan Yang Terutama
Tuan Yitzhak Rabin
Perdana Menteri Israel
JERUSALEM
Saya ingin mengucapkan terima kasih atas surat tuan bertarikh 17 Oktober memaklumkan saya mengenai Perjanjian Prinsip dan Pengiktirafan Bersama antara Israel dan PLO.
Kerajaan saya menyokong perkembangan positif ini dan menganggapnya sebagai satu langkah awal ke arah merealisasikan satu penyelesaian yang komprehensif kepada masalah Timur Tengah.
Sebagai tanda sokongan Malaysia terhadap perkembangan ini, negara saya telah diwakili pada Persidangan Penderma bagi menyokong proses damai Timur Tengah yang diadakan di Washington dan seterusnya berjanji untuk memberi sumbangan kewangan yang sederhana kepada rakyat Palestin bagi membantu dalam tugas-tugas baru mereka. Kerajaan saya juga menawarkan bantuan teknikal kepada rakyat Palestin di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia.
Demi prinsip umum, Malaysia bersedia untuk membina hubungan dengan Israel pada masa yang sesuai. Sementara itu, saya ingin melihat kemajuan ketara dalam pelaksanaan perjanjian damai.
Masalah Timur Tengah terutamanya isu Palestin telah menjadi punca ketidakstabilan di rantau itu dan saya berharap perjanjian baru-baru ini antara Israel dan PLO akan menyumbang kepada keamanan yang berpanjangan di kawasan itu.
Saya berharap kepada hubungan yang biasa dengan Israel (ayat yang terakhir ini bertulis tangan)
DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD

SURAT DR MAHATHIR KEPADA BENJAMIN NETANYAHU

PERDANA MENTERI  MALAYSIA
14 Mac 1997
Tuan Yang Terutama
Tuan Benjamin Netanyahu
Perdana Menteri Israel
Jerusalem
Surat tuan bertarikh 23 Januari hanya sampai kepada saya semalam. Saya amat menghargai susah payah tuan untuk memaklumkan kepada saya situasi di Palestin dan rantau berkenaan. Malangnya sebahagian besar daripada perkara yang tuan nyatakan itu telahpun berubah dengan begitu pantas.
Malaysia percaya kepada keamanan dan penyelesaian masalah antara Negara berjiran menerusi rundingan. Sebagai jalan keluar terakhir, kami beralih kepada pihak ketiga. Dalam pertikaian berhubung wilayah antara Malaysia dan Singapura dan Malaysia dan Indonesia kami bersetuju menyerahkan kepada Mahkamah Dunia untuk memutuskannya. Pertikaian antara Malaysia dan Thailand berhubung wilayah perairan diselesaikan dengan persetujuan untuk berkongsi sumber bukan marin dengan saksama.
Di dalam negara, ketidaksamaan dalam pengagihan kekayaan antara penduduk pribumi dan kalangan yang asalnya pendatang diselesaikan menerusi tindakan afirmatif di mana golongan miskin akan memperoleh perkongsian yang lebih besar daripada kek ekonomi yang semakin berkembang tetapi tidak ada tindakan merampas dan mengagihkan semula apa yang telahpun menjadi kepunyaan keturunan kalangan pendatang. Setiap orang menikmati pembahagian yang agak adil sekarang dan setiap orang agak berpuas hati. Hubungan antara kaum yang berbeza di Malaysia adalah baik dan tidak porak-peranda.
Perkara penting yang ingin saya tekankan ialah untuk tidak mengambil apa yang telahpun menjadi kepunyaan orang lain sungguhpun daripada segi sejarah, ia mungkin kepunyaan tuan. Akhir-akhir ini Israel telah merobohkan penempatan Arab dalam usaha mendirikan rumah bagi rakyat Israel. Seluruh dunia, termasuk sekutu tuan, Amerika Syarikat, mengutuk tindakan ini. Namun Israel tetap meneruskan juga.
Tuan mengutuk Syria kerana membuat ancaman. Bagaimanapun ancaman mereka adalah respons kepada tindakan tuan sendiri. Jika tuan secara paksa merampas tanah dan harta benda kepunyaan penduduk Palestin, satu-satunya respons sekiranya mereka tidak bertindak secara ganas terhadap tuan, adalah dengan mengancam untuk bertindak menentang tuan. Jika mereka tidak boleh bertinda balas dan mereka tidak boleh menyuarakan tindak balas yang dihasratkan itu, maka mereka terpaksa tunduk kepada semua tindakan tuan tidak kira bagaimana salah sekalipun.
Apa yang tuan lakukan sekarang bertentangan dengan semangat dan surat proses perdamaian yang dipersetujui oleh pendahulu tuan. Bagaimanakah kami boleh mempercayai Israel jika sesuatu perubahan dalam kerajaan menyangkal jaminan yang diberi dengan rasminya oleh sebuah Kerajaan Israel. Tolong pertimbangkan semula keputusan tuan untuk membina penempatan baru Yahudi di tanah Arab.
Belia-belia Israel ada di sini. Hasrat kami ialah untuk menunjukkan kepada mereka bahawa umat Islam adalah manusia rasional biasa yang mahu hidup dalam keamanan dan kebebasan. Kami berharap mereka akan mempunyai tanggapan baru terhadap umat Islam dan Islam. Akan berlaku penyimpangan dalam kalangan umat Islam tetapi penyimpangan turut berlaku dalam kalangan Yahudi dan Kristian serta penganut setiap agama.
Tiada agama yang seharusnya dihakimi berdasarkan penyimpangan ini. Kami berharap kalangan belia ini akan memahami umat Islam dengan lebih baik dan akan mahu berbaik-baik dengan mereka. Untuk mengecap keamanan tuan perlu melakukan pengorbanan. Penduduk Palestin tidak lagi mendesak penyingkiran Israel. Mereka malah bersedia untuk berkongsi Jerusalem dengan tuan. Mereka telah melakukan pengorbanan.
Kita harus ingat apabila Yahudi diperlakukan dengan kejam di Eropah, mereka seringkali menemui perlindungan dalam kalangan umat Islam di negara-negara Islam. Kami tidak menganggap rakyat Israel sebagai seteru abadi. Namun kami tidak boleh menahan rasa simpati terhadap penduduk Palestin kerana tanah air mereka dirampas daripada mereka sekarang. Ia mungkin menjadi kepunyaan Yahudi tiga ribu tahun yang lalu. Banyak tanah tradisional Melayu yang telah menjadi sebahagian daripada Thailand. Tetapi kami tidak menuntut Selatan Thailand untuk menjadi  sebahagian daripada Malaysia. Jika kita pergi terlalu jauh ke masa lampau, kita tidak boleh hidup bersama jiran-jiran kita.
Kami bersedia untuk mengadakan kerjasama ekonomi dan teknologi dengan Israel tetapi kami masih belum boleh berbuat demikian kerana tuan belum memenuhi komitmen yang dibuat oleh Kerajaan Israel yang sah. Kami ingin memikirkan bahawa sebaik sahaja kami mewujudkan hubungan dengan tuan, ia akan hubungan yang menjadi tetap.
DR MAHATHIR BIN MOHAMAD

SURAT DR MAHATHIR KEPADA EHUD BARAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
8 Jun 1999
Tuan Yang Terutama
Encik Ehud Barak
Perdana Menteri Israel
TEL AVIV
Tuan Yang Terutama,
Saya ingin menyampaikan ucapan tahniah atas kemenangan tuan dalam pilihan raya baru-baru ini. Dengan mandat yang cukup meyakinkan, saya berharap tuan dan rakan gabungan tuan akan dapat memimpin masa depan rakyat Israel di ambang Abad baru.
Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengulangi pendirian Malaysia yang sentiasa memperjuangkan keamanan dan penyelesaian masalah antara jiran menerusi rundingan. Oleh itu menjadi harapan kami untuk melihat pelaksanaan bersama perjanjian yang ditandatangani antara PLO dan Israel. Kami juga percaya jika proses perdamaian hendak diselamatkan, langkah-langkah berkesan mesti diambil untuk memenuhi komitmen.
Sebagai rakan penting dalam proses damai adalah mustahak bagi Israel lebih bersedia bertolak ansor. Rakyat Palestin telah membuat pengorbanan besar. Mereka tidak lagi menuntut penghapusan negara Israel. Mereka malah sedia berkongsi Baitulmaqdis dengan anda. Oleh itu kini masanya bagi Israel memberi respons positif demi mempertahankan harapan rakyat di Palestin dan Israel. Komitmen mulia yang dibuat oleh Kerajaan sebelumnya mesti dihormati. Jika tidak saya bimbang, akan wujud suasana konflik dan ketidakstabilan serantau yang berkekalan menjangkau ke Abad akan datang. Ini adalah prospek yang mesti dielakkan.
Pokok masalah ialah bahawa tiada pihak yang harus kembali kepada cara lama merundingkan apa yang dimiliki pihak lain, di satu nada dan menghasut kebencian dan keganasan, pada nada lain. Malaysia tidak dapat membiarkan keganasan oleh mana-mana pihak, sama ada rakan atau musuh. Mana-mana negara yang merampas tanah dan harta orang lain, atau menghapus tempat tinggal orang lain untuk mendirikan penempatan mereka sendiri tidak boleh dianggap bersikap jujur mahukan perdamaian.
Malaysia yakin penuh bahawa keselamatan semua negara di Asia Barat dapat dijamin dengan kewujudan perdamaian yang adil, berkekalan, dan komprehensif di rantau berkenaan. Ini mestilah berdasarkan pada prinsip “pertukaran tanah untuk perdamaian” dan penubuhan sebuah negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.
Dunia berharap Israel di bawah kepimpinan tuan, mengetengahkan proses damai dengan iltizam yang tulen. Saya sesungguhnya berharap pencapaian penyelesaian komprehensif di rantau tersebut akan membolehkan Malaysia melihat dengan realistik langkah positif ke arah penubuhan hubungan biasa dengan Israel.
Yang Ikhlas
Dr Mahathir Bin Mohamad

BILA NAK PRU BARU TURUN PADANG

Jangan Anggap Kekerapan Turun Padang PM Dari Sudut Pilihan Raya Semata-Mata: Shafie

 

Semporna, 5 Feb –Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengingatkan pemimpin dan ahli UMNO serta parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain supaya tidak menganggap kekerapan Perdana Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin turun padang sebagai membawa mesej pilihan raya semata-mata.
Sebaliknya, katanya, ia memberi mesej kepada semua pemimpin dan anggota parti komponen BN supaya meningkatkan usaha membela dan berbakti kepada rakyat akar umbi.
Mohd Shafie, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata  pemimpin dan anggota BN perlu sentiasa mendampingi rakyat dan mengatasi masalah mereka dan tidak menunggu sehingga pilihan raya umum diumumkan.
“Ini merupakan agenda yang amat penting demi kelangsungan kita selaku parti pemerintah di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas menutup Program Jatidiri Dalam Warisan dan Kepimpinan Masyarakat Progresif, di sini, hari ini.
Beliau turut meminta jentera pilihan raya dalam semua parti komponen BN supaya meningkatkan usaha gerak kerja mereka dan mengelak daripada mengundang sebarang permasalahan sesama mereka.

Tuduh BR1M Rasuah Satu Penghinaan Kepada Golongan Kurang Mampu

 

BUKIT KATIL, 16 Feb – Tindakan pembangkang menyifatkan pemberian Bantuan Rakyat Malaysia (BR1M) sebagai rasuah adalah satu penghinaan kepada penerimanya terutama golongan berpendapatan rendah, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam.
Ini tegasnya jelas memperlihatkan sikap pemimpin pembangkang tidak menghormati golongan ini.
“Pembangkang boleh membuat pelbagai tohmohan tetapi yang jelas kerajaan Barisan Nasional sentiasa menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira bangsa dan anutan agama”, katanya selepas menyampaikan BR1M di Dewan Demang Husin, Bukit Katil di sini, hari ini.
Justeru beliau berharap rakyat menolak pakatan pembangkang kerana pemimpinnya hanya pandai bercakap tetapi gagal berbuat sesuatu untuk membantu rakyat.
Ini katanya lagi jelas terbukti di empat negeri yang diperintah oleh pembangkang. -MediaUMNO

JIKA BERSALAH BUKTIKAN

Kerajaan Digesa Ambil Tindakan Undang-undang Pada “Pengkhianat” Negara

 

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Tindakan pakatan pembangkang yang didalangi oleh para pemimpin tertinggi mereka yang sebelum ini berselindung di sebalik pertubuhan haram NGO Bersih sekarang ini masih dilihat meneruskan taktiknya dalam menghasut rakyat untuk mengadakan revolusi dan menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Sehubungan itu, Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun menggesa agar pihak pendakwaraya lebih agresif khususnya untuk membendung berlakunya demonstrasi lagi.
datuk hafarizam-politik-umno-dap-bumiputra
“Demonstrasi jalanan atau perhimpunan tanpa permit dan sebagainya adalah salah di sisi undang-undang dan tindakan pembangkang membuat ‘road-show’ dan ceramah adalah perbuatan menyalahi undang-undang sekiranya ia dilakukan tanpa mendapat kebenaran atau memohon permit dari pihak polis. Ia boleh disabitkan menerusi misalnya, Akta Polis, Akta Pertubuhan dan sebagainya,” katanya kepada UMNO-Online.
Dilaporkan selepas pakatan pembangkang gagal dalam menganjurkan demonstrasi Bersih pada 9 Julai lalu, tumpuan para pemimpin mereka telah diubah dengan turun padang dan mengadakan sesi ceramah di negeri-negeri secara berperingkat yang mana antara kandungannya adalah memburuk-burukkan kerajaan dan pihak berkuasa selain menggesa rakyat mengadakan revolusi sebagaimana di Timur Tengah.
“Sekiranya apa yang dinyatakan oleh mereka adalah bertentangan dan boleh mengancam keselamatan dalam negara maka ia boleh diambil tindakan undang-undang kerana ia dilihat sebagai bertentangan dengan Akta Hasutan dan Kanun Kesiksaan. Tindakan lain ialah jika perlu, gunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),” tegasnya.
Mengulas berkaitan demonstrasi haram yang tetap diadakan biarpun Yang di-Pertuan Agung,  Tuanku Mizan Zainal Abidin telah mengeluarkan titah berkaitan hal tersebut, ujarnya titah Baginda adalah titah tertinggi dan tidak boleh diperbincangkan.
“Justeru itu, saranan untuk demonstrasi adalah kesalahan ‘waging war against Yang di-Pertuan Agong’ atau ‘pengkhianatan’. Juga, perintah larangan memasuki jalan atau kawasan seperti yang diperolehi terhadap 91 orang yang lalu boleh diambil tindakan.”
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak bersekongkol dengan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini.
“Elakkanlah daripada bersekongkol dengan elemen subversif ini. Demonstrasi jalanan bukan penyelesaian kepada isu yang ingin diketengahkan sebaliknya engagement berbentuk diskusi sama ada seminar dan sebagainya lebih sesuai.” - MediaUMNO

DIAM TANDA TAKUT?

Tindakan Wan Azizah Membisu Bukti Takut Rahsia Sebenar Terbongkar

 

 

KUALA LUMPUR 17 April  – Tindakan Presiden Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail yang terus membisu mengenai dakwaaan terhadap sisu keperibadian serta moral suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan beliau hanya boneka kepada dalam parti berkenaan di samping takut rahsia sebenar terbongkar.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Mazlan Sabari berkata, tidak guna beliau menjadi presiden jika tidak mampu untuk mempertahankan kredibiliti dan maruah parti berikutan dakwaan yang membabitkan Ketua Umum parti berkenaan.
“Sebagai presiden, beliau seharusnya bertanggungjawab terhadap apa jua membabitkan parti yang diketuainya, dalam apa perkara beliau seharusnya tampil bukannya mendiamkan diri dan membiarkan orang ramai membuat pelbagai persepsi.
“Beliau perlu menyedari, Anwar adalah Ketua Umum Keadilan dan sebagai presiden beliau menjawab segala dakwaaan itu bagai membuktikan bahawa apa yang didakwa itu tidak benar dan hanya berniat politik.
“Tetapi sehingga kini, tiada sebarang penjelasan yang dibuat, ini jelas menunjukkan Dr Wan Azizah hanyalah boneka dan beliau sebenarnya tidak mempunyai kuasa sebagai ketua walaupun menjawat jawatan sebagai presiden parti,”katanya kepada UMNO-Online di sini.
Menurutnya, dalam perkara berkenaan Dr Wan Azizah perlu menyedari bahawa individu terbabit adalah suaminya, beliau seharusnya keluar untuk mempertahankan maruahnya sebagai isteri kepada Anwar.
“Di manakah maruah Dr Wan Azizah sebagai seorang isteri, apakah beliau sanggup membiarkan orang ramai terus menceritakan keperibadian suaminya terhadap beberapa isu moral yang membabitkan Anwar,” katanya.
Mazlan berkata, sebagai seorang yang paling rapat dengan Anwar, beliau seharusnya berani berhadapan dengan masyarakat dan menafikan perkara itu jika segala dakwaan itu hanyalah fitnah semata-mata. -MediaUMNO