Sunday 6 May 2012

BARISAN NASIONAL MENIPU RAKYAT

Thursday, May 3, 2012

Panas: Mantan PM Mahathir Dakwa Jika Kerajaan BN Tipu, Kenapakah Pembangkang Boleh Menang

K.TERENGGANU, 3 Mei - Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (foto) menyangkal dakwaan kononnya berlaku penipuan dalam proses pilihan raya di Malaysia sehingga mengundang bantahan daripada pembangkang. "Kalau benarlah ada penipuan, kenapa setiap kali diadakan pilihan raya ramai calon lawan dapat kemenangan besar? Tak pernah berlaku pula, kerajaan (Barisan Nasional) dapat semua undi, sebaliknya ada yang hanya menang tipis. "Kalau ada penipuan, maknanya bodoh sungguhlah kerajaan BN nak tipu pun tak pandai," katanya ketika berucap pada program Bicara Negarawan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad bertajuk 'Cabaran Umat Islam Masa Kini: Persepsi dan Realiti' anjuran Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Institut Pengajian Strategik dan Integriti Terengganu di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said. Dr Mahathir berkata rakyat negara ini perlu lebih rasional agar tidak terus diperbodoh dan diperalatkan pemimpin pembangkang yang tergamak menghalalkan demonstrasi ganas demi kepentingan dan cita-cita mereka untuk merebut kuasa. Jika rakyat terus-menerus terpedaya dengan usaha pembangkang itu, kata beliau mereka sebenarnya turut sama bersubahat kerana perbuatan sedemikian jelas bercanggah dengan ajaran Islam. Dr Mahathir berharap umat Islam negara ini menggunakan akal fikiran yang waras dengan meneliti terlebih dahulu sama ada penglibatan mereka itu benar-benar mengikut ajaran Islam atau sebaliknya. "Saya harap rakyat tidak mudah diperalatkan orang lain. Jika tidak, rakyat pun bersubahat sama melakukan perbuatan keji (rusuhan ganas) yang bercanggah dengan ajaran Islam," kata Mahathir.
[Kenyataan mantan PM ini menggambarkan betapa lemahnya mentaliti beliau sekarang ini. Sewajarnya Mahathir sudah insaf kerana "rumah kata pergi, kubur kata mari". Namun dek kerana mahu menunjukkan kepandaian beliau, maka akhirnya Mahathir memperbodohkan dirinya sendiri. Beliau merasakan rakyat ini semuanya bodoh seperti beliau agaknya. Apakah Mahathir fikir BN tidak tipu dalam tiap kali pilihanraya dengan alasan mereka tidak menang semua negeri?. Malah ada kerusi yang dimenangi oleh pembangkang?. Sebenarnya, BN tetap kalah walau pun menipu kerana suara rakyat untuk berubah itu lebih besar dari jumlah penipuan yang dibuat. Misalnya, mereka menipu pengundi hantu dan pos sebanyak 10,000 tetapi jumlah rakyat yang mahu berubah ada 15,000 maka jumlah itu lebih besar daripada penipuan yang dilakukan sebenarnya. Sebab itulah negeri-negeri yang jumlah rakyatnya mahu berubah dimenangi oleh pembankang. Ia tidak bermakna tiada penipuan. Mahathir "mudah lupa" dengan apa yang telah beliau lakukan. Dialah yang memulakan "kezaliman" terhadap rakyat terutamanya selepas memecat Anwar pada 1998 dulu]

No comments:

Post a Comment