Sunday 27 May 2012

BASMI KEMISKINAN

YBK Rakan Strategik Kerajaan Basmi Kemiskinan – PM

 

SHAH ALAM 13 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) mampu menjadi rakan strategik kepada kerajaan Persekutuan dalam usahanya membasmi kemiskinan rakyat.
Perdana Menteri berkata ini kerana yayasan itu telah membuktikan keupayaan sebagai badan bukan kerajaan yang dapat menyediakan pelbagai bantuan untuk golongan miskin daripada segi pendidikan, kewangan dan khidmat sosial, bukan sahaja di Selangor malah di negeri-negeri lain.
“Kerana kemampuan dan kebolehan yang dipamerkan YBK lah maka kerajaan tetap memberi sokongan kepada pertubuhan itu,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran Program Transformasi Lima Tahun YBK sempena ulang tahun ke-22 yayasan itu di sini hari ini.
Najib memberi contoh projek pembinaan kampus Universiti Teknologi MARA di Jasin, Melaka yang dilaksanakan oleh YBK.
Mengenai program transformasi lima tahun YBK yang dilancarkan hari ini, Perdana Menteri berkata program itu akan memberi kesan yang amat besar kepada golongan sasaran.
Antara objektif program itu ialah meningkatkan kapasiti Asrama Kasih YBK di Serendah kepada 1,250 pelajar pada 2016 berbanding 1,000 pelajar sekarang dan juga meningkatkan pengambilan pelajar di Pusat Latihan YBK daripada 1,161 pelatih kepada 9,111 dalam tempoh yang sama.
Najib berkata kekangan besar dihadapi YBK untuk mencapai matlamatnya ialah apabila 191 hektar tanah dirampas manakala 324 hektar lagi dikaveat oleh Kerajaan Negeri Selangor menyebabkan yayasan itu tidak boleh melakukan apa-apa di atas tanah berkenaan.
Katanya semasa melawat Selangor sebelum ini, sekumpulan penyewa ruang niaga Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah memohon supaya Kerajaan Persekutuan mengambil alih kompleks perniagaan itu setelah PKNS bercadang untuk menaikkan sewa premis mereka sehingga 100 peratus.
Pada majlis itu Najib menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Akademi Kemahiran YBK dengan syarikat MIGHT METEOR Advanced Manufacturing Sdn Bhd dan Akademi Mutiara YBK Sdn Bhd dengan A.H. Razali Sdn Bhd, Manpower Addition Sdn Bhd, R.B.H Enterprise, Pancaran Asas Sdn Bhd, BBS Tas Con Enterprise Sdn Bhd dan Zedcon Engineering (M) Sdn Bhd.
Perdana Menteri turut menyaksikan anak syarikat YBK, YBK Usahasama Sdn Bhd menerima surat tawaran kemudahan pembiayaan bernilai RM31.9 juta daripada Malaysia Building Society Bhd bagi pembiayaan sebahagian kos pembinaan Universiti Teknologi MARA Jasin.

 

No comments:

Post a Comment