Friday 11 May 2012

Pakatan Rakyat dakwa sedia hadapi PRU, BN pula risau tewas



“Mahathir telah menyatakan kami tak yakin menang dalam PRU13 akan datang adalah satu tanggapan yang salah dan itu hanya ingin menutup kerisauan pada ahli Umno dan BN sendiri,” kata Salahuddin lagi ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Dr Mahathir sebelum ini dipetik berkata, pembangkang tidak mempunyai keyakinan untuk menang dalam PRU13 menyebabkan mereka melemparkan pelbagai tuduhan untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan sedia ada zalim dan perlu digulingkan.
Mantan perdana menteri itu turut berkata, pembangkang sudah banyak kali berdepan dengan kekalahan malah sejak negara ini merdeka, mereka tidak pernah menang di peringkat pusat.
“Sebab itu mereka mahu bersedia, kalau kalah kali ini (PRU13), mereka akan cetuskan huru-hara, buat demonstrasi dan desakan yang kononnya kerajaan menipu untuk menang.
“Ini memang pendekatan pembangkang yang bertujuan menjatuhkan kerajaan melalui demontrasi, bahkan Nik Aziz (Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat) sendiri turut mengatakan bahawa demontrasi ini halal,” katanya.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubanhg Kerian berkata, masyarakat sekarang lebih celik politik dan dapat menilai pemerintah yang layak dalam mengemudi negara ke arah yang lebih baik seperti yang dituntut Bersih 3.0.
“Kebangkitan rakyat yang ditunjukkan melalui perhimpunan Bersih 3.0 yang berkumpul tanpa mengira kaum pada April lalu jelas menggugat dan memberi ancaman kepada Umno,” kata Salahuddin.
Perhimpunan Bersih 3.0 yang dianjurkan oleh gabung 84 NGO, didakwa dihadiri lebih seratus ribu peserta dari seluruh pelusuk negara telah mengundang pelbagai reaksi ekoran keganasan yang berlaku.
“Kami telah meminta untuk ditubuh satu pasukan suruhanjaya bebas bagi menyiasat siapa dalang di sebalik insiden tersebut dan masyarakat boleh menilai sendiri melalui video yang dirakam dan muat turun dalam mana-mana laman sosial,” tambah Salahuddin lagi.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata, “kita tidak tahu siapa yang akan menang dalam PRU13 nanti sehingga semua undi dikira dan diumumkan kepada semua”.
“Mahathir tidak sepatutnya membuat kenyataan seperti itu dan beliau hanya memperlihatkan kebimbangan Umno dalam meraih undi dalam PRU13 akan datang.
“Jika benar Umno tidak bimbang mengapa Parlimen masih belum dibubarkan sehingga hari ini dan jika masih mencari masa yang sesuai, Umno akan menjadi seperti telur di hujung tanduk,” kata Ahli Parlimen Kepong itu lagi.
Dalam pada itu, Naib Presiden PKR Tian Chua juga menyokong kenyataan rakan-rakan PR beliau.
“Saya merasakan kenyataan Mahathir adalah tidak berasas dan tidak mempunyai bukti kukuh mengaitkan demonstrasi Bersih 3.0 sebagai cara untuk menjatuhkan kerajaan,” kata Ahli Parlimen penggal pertama ini.
“Manakala usaha memburukkan imej polis adalah satu klasifikasi yang jauh berbeza dengan untuk menggulingkan kerajaan.
“Suruhanjaya Pilihan Raya haruslah telus dan adil dalam setiap PRU dan menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan betul, serta mereka perlulah bebas dari mana-mana badan politik.
“Kewujudan perhimpunan Bersih bukanlah bertujuan untuk meraih undi dan menjadikannya sesuatu yang boleh menggugat keamanan negara tetapi adalah untuk menuntut lapan perkara yang disebutkan sebelum ini,” tambah Ahli Parlimen Batu itu lagi

No comments:

Post a Comment