Sunday 27 May 2012

JIKA BENAR JANJI DIKOTA

Janji Dikota, Keyakinan Rakyat Kepada BN Semakin Meningkat- Najib

 

 

Johor Bahru, 10 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sokongan dan keyakinan rakyat yang semakin meningkat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika ini adalah kerana kerajaan sentiasa mengotakan janjinya berbanding dengan pembangkang yang hanya pandai berjanji.
“Saya rasa sehari dua ini penambahan keyakinan rakyat terhadap BN adalah disebabkan apa yang kita (BN) kata, kita kotakan. Sebaliknya pembangkang bila mereka janji, tahap keyakinan janji mereka semakin hari semakin dipersoalkan.
“Justeru itu, kalau hendak terus mendapat keyakinan rakyat, sebagai pemimpin di semua peringkat kita mesti ‘walk the talk’… janji mesti dikotakan,” katanya semasa melakukan tinjauan mesra dan berucap pada majlis perjumpaan dengan penduduk Taman Setia Indah di sini, hari ini.
Najib berkata walaupun dalam tempoh yang singkat iaitu kira-kira tiga tahun ini, kerajaan mampu menterjemah segala projek yang dirancangkan kepada realiti yang memberi manfaat besar kepada rakyat.
“Insya-Allah, kalau tiga tahun kita sudah berjaya yakinkan rakyat, apatah lagi kalau lima tahun yang mendatang, macam-macam kita boleh buat untuk rakyat,” katanya.
Merujuk kepada negeri ini, Perdana Menteri berkata landskap pembangunan Johor kini semakin berubah kerana adanya perancangan dan keyakinan rakyat kepada kerajaan.
Katanya, rancangan pembangunan di kawasan Iskandar Malaysia sudah dilaksanakan sebanyak 45 peratus manakala satu projek terbaru membabitkan hab minyak dan gas di Pengerang dekat Kota Tinggi yang membabitkan pelaburan berjumlah RM60 bilion juga akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.
Terdahulu, sejurus tiba di kawasan perumahan itu, Perdana Menteri memulakan program tinjauan mesranya dengan berbasikal bersama belia pelbagai kaum di kawasan rekreasi perumahan tersebut.
Dengan berjalan kaki, Najib kemudian dibawa meninjau kawasan perniagaan, medan selera dan pasar awam Taman Setia Indah untuk beramah mesra dengan penduduk setempat sebelum berucap pada majlis perjumpaan.
Najib kemudian mengumumkan beberapa peruntukan termasuk bagi menyiapkan 316 unit projek perumahan rakyat Taman Setia Indah yang terbengkalai sejak tahun 2008, membina masjid Taman Puteri Wangsa dan projek membina bangunan tambahan empat tingkat untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Foon Yew, Taman Mount Austin, di sini.

No comments:

Post a Comment